Friday 14 December 2012

Contoh - Contoh Soalan Karangan

Soalan : Cara-cara Menyelesaikan Masalah Disiplin di Kalangan Murid-Murid Sekolah. Bincangkan.

Disiplin bermaksud peraturan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik. Masalah disiplin di kalangan para pelajar sekolah menjadi bualan masyarakat masa kini. Perbincangan berikut adalah tentang cara-cara menyelesaikan masalah-masalah disiplin di kalangan mereka.

Salah satu cara untuk mengekang masalah disiplin di kalangan murid-murid sekolah adalah dengan cara memberi kefahaman dan pengetahuan tentang undang-undang serta etika di sekolah. Misalnya undang-undang serta etika tersebut hendaklah dibekalkan secara bertulis kepada setiap murid. Selain itu, kursus yang berkaitan dengan undang-undang dan disiplin hendaklah diadakan pada masa yang sesuai. Oleh yang demikian disiplin pelajar akan mantap maka pentadbiran sekolah tidak terganggu.

Di samping itu, maslah disiplin di kalagan murid-murid dapat ditangani oleh melalui penerapan nilai-nilai murni adalah setiap pengajaran dan pembelajaran. Nilai-nilai murni yang diterapkan secara langsung atau tidak langsung ini dapat diamalkan oleh murid-murid secara berterusan. Dengan ini, masalah disiplin dapat dibanteras apabila murid-murid mengamalkan budaya hidup yang berdisiplin.

Pihak sekolah dan ibu bapa perlu mewujudkan kerjasama yang bersepadu dalam menyelesaikan masalah disiplin di kalangan murid-murid sekolah. Ibu bapa hendaklah memberikan kerjasama apabila dipanggil oleh pihak sekolah untuk memaklumkan tentang masalah disiplin anak mereka. Ibu bapa juga sewajarnya memberikan perhatian dan mengawasi anak-anak mereka semasa berada di rumah agar disiplin diri mereka terkawal secara berterusan.

Tindakan mendenda atau memberikan hukuman merupakan salah satu cara yang berkesan untuk menyelesaikan masalah disiplin hukuman atau denda akan menimbulkan rasa serik dan takut di kalangan murid-murid untuk mengulangi kesalahan tidak berdisiplin ini. Dengan ini, hukuman yang sewajarnya perlu diambil oleh pihak sekolah untuk memberi kesedaran kepada murid-murid bagi menyelesaikan masalh disiplin.

Soalan : Tuliskan Satu Karangan Cerita Berdasarkan Peribahasa ‘Sesal Dahulu Pendapatan, Sesal Kemudian Tidak Berguna’.

Peribahasa ialah satu rangkai kata yang mempunyai bahasa yang indah dan menarik. Peribahasa dihasilkan bertujuan unruk menyuntik nasihat, membimbing dan menyindir. Peribahasa juga membawa unsur-unsur pengajaran atau didaktik.

Antara beribu-ribu peribahasa yang dicipta ialah ‘Sesal Dahulu Pendapatan, Sesal kemudian Tidak Berguna’, peribahasa ini membawa maksud jika kita ingin melakukan sesuatu, kita hendaklah berfikir terlebih dahulu tentang baik dan buruknya supaya kita tidak menyesal jika berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini pada hari kemudian.

Sebagai contoh , Syafiq sangat malas belajar, semua kerja sekolahnya tidak selesai. Setiap hari dia bermain permainan video dan menonton cerita kartun. Semasa ujian, dia tidak dapat menjawab soalan. Dia tidak mengetahui jawapan yang tepat.

Syafiq gagal dalam peperiksaan. Dia berasa malu pada kawan-kawannya. Dia menyesal kerana tidak mendengar nasihat guru dan ibu bapanya. Namun, segalanyan sudah terjadi,nasi sudah menjadi bubur. Syafiq tidak boleh berbuat apa-apa lagi.

Benarlah kata peribahasa Melayu ‘Sesal dahulu pendapatan, Sesal Kemudian Tidak Berguna’. Kita mesti berhati-hati dan berfikir terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu. Terlajak perahu boleh diundur, terlanjur perubatan buruk padahnya.

Kesimpulannya, peribahasa ‘Sesal Dahulu Pendapatan, Sesal Kemudian Tidak Berguna’ mampu mengingatkan kita bahawa sememangnya orang-orang tua dahulu bijak membandingkan sesuatu yang ada di dalam fana ini dengan diri manusia.

Soalan : Bincangkan Sebab-Sebab Berlakunya Gejala Ponteng Sekolah.

Ponteng sekolah adalah salah satu daripada masalah disiplin sekolah. Masalah ponteng sekolah dapat diatasi dengan adanya kerjasama  daripada pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat. Terdapat beberapa punca yang menyebabkan murid ponteng sekolah.

Antara punca murid-murid ponteng sekolah ialah pengaruh rakan-rakan yang nakal. Murid-murid yang nakal ini selalu ponteng sekolah dan menghabiskan masa dengan melepak. Mereka selalu mempengaruhi rakan-rakan lain agar turut serta dengan mereka kerana perbuatan bagi mereka itu menyeronokkan.

Punca lain ialah sikap ibu bapa yang mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Ibu bapa tidak pernah mengambil tahu ke mana anak mereka pergi. Di samping itu, mereka juga tidak pernah menegur atau memberi nasihat jika anak mereka melakukan kesilapan.

Selain itu, kehilangan kasih sayang kerana kesibukan ibu bapa juga menjadi salah satu punca mereka ponteng sekolah. Mereka merasa diabaikan lalu mencari keseronokan dengan mengunjungi pusat membeli-belah atau pusat-pusat permainan video.

Murid yang lemah dalam pelajaran selalunya ponteng sekolah kerana mereka hilang minat belajar. Mereka selalu ditegur atau didenda oleh guru kerana tidak membuat kerja sekolah. Oleh sebab itu, mereka mencari jalan mudah dengan ponteng sekolah.

Kesimpulannya, terdapat beberapa punca murid ponteng sekolah. Masalah ponteng sekolah perlu diatasi agar murid-murid tidak terjebak kepada gejala sosial yang lain seperti terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Faedah-Faedah Membaca.

Membaca adalah salah satu tabiat yang baik. Terdapat pelbagai bahan bacaan seperti buku, majalah, dan surat khabar yang boleh dibaca. Bahan-dahan bacaan ini boleh didapati dengan mudah sama ada dengan membeli atau meminjam di perpustakaan.

Melaui pembacaan, kita akan mendapat banyak ilmu pengetahuan. Menerusi ilmu pengetahuan inilah kita akan dapat memajukan diri kita. Kita dapat menulis dan berhujah dengan baik apabila mempunyai pengetahuan yang luas. Dengan membaca juga kita akan dapat mengetahui perkembangan semasa.

Selain itu, membaca juga dapat mengisi lapang kita. Membaca dapat mencegah seseorang daripada membuang masa dan terlibat dengan gejala sosial seperti melepak dan lumba haram. Melalui pembacaan juga seseorang boleh mendapat hiburan. Cerita-cerita yang dibaca dapat dijadikan pedoman dalam menjalani kehidupan seharian.

Bagi seorang murid, sikap suka membaca sangat penting. Murid yang rajin membaca akan dapat mengingati apa yang dapat dipelajari dengan mudah. Rajin membaca buku akan memudahkan murid menjawab soalan peperiksaan dengan cemerlang. Sebagai murid, masa yang terluang perlulah diisi dengan aktiviti membaca.

Selalu membaca surat khabar juga dapat membantu para belia mencari kerja. Hal ini kerana, di dalam surat khabar terkandung ruangan iklan jawatan kosong. Selain itu, peluang melanjutkan pelajaran ke universiti juga terdapat di dalam surat khabar. Belia yang kurang membaca akan terlepas banyak peluang.

Sesungguhnya, membaca adalah amalan yang mulia yang patut dipupuk sejak kecil lagi. Ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak membaca setiap hari. Cogan kata ‘Membaca Jambatan Ilmu’ harus dijadikan pegangan hidup kita.

Amalan Berjimat Cermat Di Sekolah.

Kita mestilah menggamalkan sikap berjimat cermat dalam kehidupan seharian. Berjimat cermat adalah amalan yang mulia. Amalan berjimat cermat banyak manfaatnya.

Sebagai murid, kita hendaklah berjimat cermat dalam berbelanja. Baki wang saku yang diberikan oleh ibu bapa hendaklah disimpan di dalam tabung. Selain itu, kita hendaklah membawa bekalan makanan dari rumah yang lebih terjamin kebersihannya. Justeru, kita terhindar daripada keracunan makanan.

Kita juga boleh berjimat cermat ketika berada di dalam kelas. Kipas di dalam kelas mesti ditutup apabila tiada murid yang berada di dalam kelas. Lampu juga mestilah ditutup apabila keadaan di sekeliling sudah cerah. Peralatan tulis seperti pensel dan pensel warna hendaklah digunakan sehingga pendek.

Kita juga mesti menggamalkan amalan berjimat cermat ketika berada di tandas. Air mesti digunakan dengan sebaik mungkin. Kita mestilah mengelakkan air paip mengalir tanpa digunakan. Tutup lampu selepas menggunakan tandas.

Selain itu, kita juga perlu berjimat cermat ketika di kantin sekolah. Jangan membeli terlalu banyak makanan yang boleh menyebabkan pembaziran. Air yang dibeli juga perlu dihabiskan. Sebaik-baiknya, bawalah air yang telah dimasak dari rumah kerana air tersebut juga boleh diminum ketika berada di dalam kelas.

Kesimpulannya, terdapat banyak cara amalan berjimat cermat boleh diamalkan di sekolah. Sewajarnya, pihak sekolah perlu menasihati murid agar berjimat cermat. Ibu bapa juga perlu menggamalkan sikap berjimat cermat agar dapat dicontohi oleh anak-anak mereka.

Soalan : Nyatakan Sebab-Sebab Kita Perlu Menghormati Dan Menyayangi Guru.

Guru adalah orang yang mendidik kita sejak di tadika lagi. Tanpa guru, kita pasti tidak dapat menguasai pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran. Oleh sebab itu, guru perlu dihormati dan disayangi.

Guru telah banyak mengorbankan masa dan tenaga untuk mendidik kita. Tugas guru bukanlah sesuatu yang mudah kerana guru perlu mengajar sambil mendidik kita. Guru terpaksa mendidik dan mengajar murid dalam jumlah yang ramai. Justeru, kita perlu menghormati dan menyayanginya.

Tugas guru bukan hanya pada waktu persekolahan. Tetapi mereka sanggup mengadakan kelas tambahan kepada murid-murid yang akan menduduki peperiksaan penting seperti UPSR. Mereka tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan. Segala pengorbanan mereka perlu kita hargai.

Sambil mengajar guru terpaksa mengawal murid-murid yang ramai. Mereka terpaksa melayan pelbagai kerenah murid-muridnya tanpa rasa jemu. Mereka mendidik murid-murid mereka dengan bersungguh-sungguh tanpa membezakannya. Semua murid dipastikan mendapat ilmu yang diajar.

Guru juga mempunyai sifat kesabaran yang tinggi dalam menghadapi kerenah murid-muridnya. Semasa berada di dalam kelas, terdapat murid yang nakal dan tidak membuat latihan yang diberikan. Kadangkala guru terpaksa memarahi murid-murid agar mereka menyedari kesilapan mereka. Sifat kesabaran guru patut dipuji.

Sesungguhnya, kerjaya guru amat mulia walaupun tidak menjanjikan kekayaan. Guru akan gembira apabila murid-muridnya berjaya menjawat jawatan yang tinggi daripada mereka. Oleh sebab itu, hormatilah dan sayangilah guru-guru yang telah banyak berjasa kepada kita.

Kepentingan Air Dalam Kehidupan Seharian. 

Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan sumber air. Air sangat penting dalam kehidupan seharian. Air diperlukan untuk pelbagai tujuan seperti kegunaan harian, pertanian, perindustrian, dan rekreasi.

Dalam kegunaan seharian, air digunakan untuk memasak, membasuh, dan mencuci kereta. Air juga sebagai sumber minuman kepada kita supaya kecergasan kita berkekalan. Dengan adanya air, kehidupan manusia akan lebih sempurna. Kita mestilah berjimat cermat menggunakan air.

Selain itu, air juga penting untuk pertanian dan perikanan. Dalam bidang pertanian, air diperlukan untuk menyiram sayur-sayuran. Dalam bidang perikanan pula, air menjadi tempat menangkap pelbagai jenis ikan. Tanpa air, bidang pertanian dan perikanan akan terjejas. 

Dalam bidang perindustrian, air merupakan sumber terpenting. Dalam industri membuat minuman dan membuat kertas banyak menggunakan air. Industri makanan dalam tin juga memerlukan air yang banyak. Oleh sebab itu, perindustrian banyak dibina di kawasan bandar yang bekalan airnya jarang terputus. 

Aktiviti rekreasi seperti berenang dan berkayak memerlukan air. Kawasan bekas lombong dijadikan taman rekreasi air. Banyak taman air dibuka seperti Sunway Lagoon dan Water World Melaka. Kawasan ini perlu dipelihara agar tidak tercemar. 

Sesungguhnya, air adalah sumber semula jadi anugerah Tuhan yang amat berharga. Gunakanlah air dengan sebaik-baiknya dan elakkan pembaziran. Selain itu, kita perlu mengelakkan berlakunya pencemaran air.  

Hampir Mengundang Padah

Pada hari minggu yang lalu, aku, Selvam dan Tee Khai pergi berkelah di Hutan Lipur, Lata Kajang. Lata Kajang terletak kira-kira 18 kilometer dari Pekan Tapah, Perak Darul Ridzuan. Kami membawa bekalan makanan, minuman dan sepersalinan pakaian.

Setelah sampai di destinasi, kami meletakkan barang-barang di sebuah pondok yang disediakan. Kami mandi-manda dengan gembira sekali. Pada pagi itu, masih belum ramai orang yang mandi. 

Selvam mencadangkan kami pergi ke tempat yang airnya agak dalam. Di tempat itu, ada papan tanda yang melarang pengunjung mandi di situ. Namun, Selvam dan Tee Khai tidak mempedulikannya. Aku tidak mahu mengikut mereka ke tempat tersebut. 

Aku bersendirian mandi di tempat yang airnya tidak berapa dalam dan arusnya juga tidak berapa deras. Air air di tempat aku mandi hanya mencecah paras dada sahaja. Aku rasa mandi di tempat yang tohor ini lebih selamat kerana aku tidak pandai berenang. 

Tiba-tiba, aku terdengar suara Selvam menjerit meminta tolong. Aku bergegas ke arahnya, aku lihat Selvam sedang terkapai-kapai di tengah sungai. Mujurlah ada seorang pemuda di situ, dia segera bertindak untuk menyelamatkan Selvam. 

Selvam berasa amat bersyukur kerana terselamat daripada lemas di dalam sungai itu. Dia tidak menyangka peristiwa ngeri itu akan berlaku pada dirinya. Fikirlah dahulu sebelum melakukan sesuatu , detik hati kecilku. 

Pengalaman Semasa Menyertai Program Sambil Belajar. 

Melancong merupakan satu aktiviti yang menyeronokkan dan menghiburkan hati. Semasa aktiviti lawatan ini, kita banyak memperoleh banyak ilmu pengetahuan yang berguna. Bak kata pepatah, banyak berjalan luas pengalaman. 

Pada cuti pertengahan tahun baru yang lalu, saya berpeuang melawat ke Negeri Melaka. Tujuan lawatanadalah untuk melihat kesan-kesan peninggalan sejarah penjajah di kota itu. Para pelancong juga masih boleh melihat kesan-kesan peninggalan sejarah tersebut. 

Semasa saya berada di sekitar Bandar Hilir, Melaka. Saya juga tidak melepaskan peluang untuk Kota A Famosa. Kota ini adalah kota yang dibina oleh tentera Portugis. Kota ini pernah dijadikan kubu pertahanan tentera Portugis ketika itu.

Selepas makan tengah hari, saya melawat makam pahlawan-pahlawan Melaka, antaranya adalah makam Hang Jebat. Saya juga berkesempatan melawat Perigi Hang Tuah. Mengikut cerita dan kepercayaan penduduk tempatan, air perigi ini dapat mengubati pelbagai jenis penyakit.

Pada sebelah malamnya, saya dan kawan-kawan pergi ke Umbai untuk menikmati keenakan ikan bakar. Saya turun ke gigi pantai untuk menikmati keindahan malam di kota penuh sejarah ini. Semasa saya berada di sini, ramai pelancong asing yang turut menikmati keindahan malam di Melaka sambil menjamu selera.

Kira-kira pukul sebelas malam, saya dan peserta rombongan berangkat pulang. Banyak pengalaman dan pengetahuan yang saya telah perolehi. Saya juga sedar betapa pentingnya menjaga kesan-kesan peninggalan sejarah bagi tatapan generasi muda akan datang.

Program Gotong-Royong Di Tempat Saya. 

Pada hari minggu yang lalu, saya, bapa saya, dan kira-kira lima puluh orang penduduk kampung telah menyertai program gotong-royong. Gotong-royong ini diadakan sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Malaysia pada tahun ini.

Tepat pada pukul lapan pagi, berpuluh-puluh orang penduduk kampug sudah berkumpul di luar balai raya. Mereka membawa bersama-sama peralatan yang sesuai untuk menjayakan aktiviti gotong-royong. Ada yang membawa cangkul, sabit, parang dan pongkis.

Kami diagih-agihkan kepada beberapa kumpulan kecil. Tujuannya adalah untuk memudahkan kerja-kerja pembersihan dijalankan dengan lebih teratur. Antara kawasan yang dibersihkan termasuklah taman permainan, surau, parit dan balai raya.

Pada masa yang sama, kaum wanita sibuk menyediakan makanan dan minuman di perkarangan balai raya. Pelbagai jenis juadah disediakan oleh mereka. Mereka kelihatan bersatu hati menjayakan program gotong-royong ini.

Kira-kira pukul 11.30 pagi, semua kerja pembersihan telah pun selesai. Petugas-petugas telah berkumpul semula di balai raya untuk menjamu selera. Walaupun kelihatan letih, namun mereka menunjukkan kemesraan dan suasana muhibah.

Saya berpendapat, kerja yang dijalankan secara gotong-royong mampu menjalin ikatan silaturahim penduduk setempat. Di samping itu, penerapan nilai-nilai murni dipraktikkan. Malahan, semangat kejiranan juga dapat diperkasakan.

Suasana Hari Kantin Yang Diadakan Di Sekolah Kamu.

Pagi-pagi lagi, semua guru dan pelajar berkumpul di kawasan perhimpunan sekolah. Hari ini sekolah akan mengadakan Hari Kantin 2009.

Sebelum Hari Kantin bermula, taklimat diberikan kepada murid dan guru. Setelah mendengar taklimat, kami pun pergi ke gerai masing-masing.

Aku yakin gerai kami akan diserbu oleh murid dan pengunjung yang lain kerana gerai kami ialah satu-satunya gerai yang menjual makanan barat.

Tepat pukul 11.00 pagi, sekolah mula dipenuhi oleh ratusan pengunjung yang terdiri daripada ibu bapa dan penduduk di kawasan itu. Mereka datang untuk memberikan sokongan dan memeriahkan Sambutan Hari Kantin.

Selain makanan dan minuman, ada juga gerai yang menjual cenderamat yang di hasilkan oleh murid-murid sekolah. Gerai-gerai ini dikendalikan oleh murid-murid dan guru-guru.

Kami bersyukur kerana Hari Kantin 2009 telah berjaya meraih kutipan sebanyak RM10 ribu ringgit. Kami juga berterima kasih atas sokongan dan sumbangan yang telah diberikan oleh pihak sekolah dan juga penduduk setempat.

Kebaikan Buah-buahan Tempatan.

Buah-buahan tempatan bermaksud buah-buahan yang terdapat di dalam negara kita. Negara kita mempunyai pelbagai jenis buah-buahan tempatan seperti buah rambutan, langsat, duku, durian dan manggis. Buah-buahan ini mempunyai banyak khasiat.

Kita patut memilih buah-buahan tempatan kerana mudah didapati di negara kita. Selain itu, harganya juga lebih murah berbanding buah-buahan luar negara. Harga buah-buahan ini semakin murah apabila tiba musim buah-buahan tersebut. Rasanya juga enak.

Selain itu, buah-buahan tempatan lebih segar dan bermutu tinggi. Buah-buahan luar negara pula kurang segar kerana terlalu lama dalam perjalanan. Buah-buahan luar negara juga mengandungi bahan pengawit agar tahan lama.

Harga buah-buahan luar negara mahal sedangkan khasiatnya sama dengan buah-buahan tempatan. Jika kita membeli buah-buahan tempatan kita dapat berjimat-cermat. Buah-buahan tempatan boleh didapati di sepanjang tahun. Ada beberapa jenis buah-buahan tempatan boleh dijadikan kuih seperti pisang dijadikan pengat dan durian dijadikan lempuk.

Membeli buah-buahan tempatan juga dapat membantu para petani di negara kita. Para petani juga dapat memasarkan hasil tanaman mereka. Pendapatan mereka akan bertambah. Ekonomi negara juga akan meningkat.

Oleh sebab itu, makanlah buah-buahan tempatan. Buah-buahan tempatan lebih baik daripada buah-buahan luar negara. Dengan membeli buah-buahan tempatan kita dapat membantu para petani dan pekebun buah-buahan di negara kita agar lebih maju.

Banjir Di Kampung Saya.

Pada tahun ini, kampung saya telah dilanda banjir sebanyak dua kali. Kali pertama berlaku pada bulan Januari dan kali kedua pada bulan Disember. Banjir pada kali ini lebih teruk daripada tahun sebelumnya.

Hujan lebat turun tidak berhenti-henti selama dua hari. Hujan yang lebat itu telah menyebabkan sungai dipenuhi air dan melimpah. Kami mula berasa bimbang apabila air sungai mula mencecah ke paras lutut. Ekoran itu, kami telah pu bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Tanpa membuang masa, kami mengemas barang-barang ke tempat tinggi. Kami juga mengumpul dokumen penting dan pakaian untuk dibawa semasa berpindah. Apabila air semakin naik, kami diarahkan berpindah. Kami menaiki trak tentera yang telah disediakan untuk berpindah ke pusat permindahan.

Bagi penduduk kampung yang berada di kawasan yang lebih rendah, mereka diselamatkan dengan menggunakan bot. di sepanjang tempat permindahan, kami berasa sungguh sedih apabila melihat rumah dan segala harta benda kami ditenggelami air. Kereta dan peralatan rumah tidak dapat diselamatkan. Namun begitu, kami masih bersyukur kerana kami masih selamat.

Di pusat permindahan, kami diberi bantuan kain selimut dan makanan. Wakil rakyat dan pegawai kebajikan datang melawat kami. Selepas empat hari berada di pusat permindahan, kami dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Kami pulang ke rumah dengan perasaan sayu kerana banyak harta benda kami yang musnah.

Banjir yang melanda tahun ini menjadi pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Namun begitu, kami redha di atas apa yang berlaku. Kami meneruskan aktiviti harian seperti biasa walaupun dalam serba kesulitan.

Pengalaman Perkhemahan.

Pada bulan September yang lalu, aku dan rakan-rakanku menyertai perkhemahan anjuran sekolah kami. Perkhemahan ini disertai oleh 130 orang murid. Ia diadakan di tapak perkhemahan Sedili Motor Resort, Kota Tinggi, Johor.

Kami bertolak ke sana pada pukul 2.00 petang dengan menaiki bas yang disewa khas. Perjalanan ke sana amat menyeronokkan kerana ditemani pemandangan yang indah di kiri kanan jalan. Pada pukul 3.30 petang, kami sampai di tapak perkhemahan dan terus mendirikan khemah. Kami menghias khemah kami dengan pokok-pokok kecil yang terdapat di situ.

Sebaik sahaja selesai mendirikan khemah, kami semua minum petang dan solat asar berjemaah. Kemudian, kami menyediakan makan malam. Tepat pada pukul 6.30 petang, kami makan malam dan diikuti dengan solat maghrib dan isyak. Pada malam itu, kami mengadakan Malam Kebudayaan dan tidur pada pukul 11.00 malam.

Kesokannya, kami bangun seawal 5.30 pagi. Kami mandi, solat subuh dan mengikuti senamrobik yang diketuai oleh Cikgu Wan Ahmad. Kami berasa sangat seronok kerana bersenam di tepi pantai yang nyaman udaranya. Seleps bersarapan, kami mengikuti aktiviti ‘jungle traking’, kawat kaki dan kemahiran ikatan.

Pada pukul 12.30 tengah hari, kami menikmati makan tengah hari dan membersihkan diri. Selepas itu, diadakan pertandingan khemah terbaik dan pertandingan memasak. Kedua-dua pertandingan ini agak mencabar tetapi amat menyeronokkan. Aktiviti paling mencabar apabila kami dikehendaki membuat roti pintal yang dibelit pada batang buluh dan dibakar di atas bara api.

Pada pukul 4.00 petang, kami berkemas untuk pulang. Sebelum pulang kami membersihkan kawasan perkhemahan. Sesungguhnya, aktiviti perkhemahan ini banyak memberi pengalaman baru kepada kami dan tidak dapat kami lupakan.

Masa Itu Emas.

Kita selalu mendengar ungkapan ‘Masa Itu Emas’. Ungkapan itu bermaksud masa itu sangat berharga kerana masa yang berlalu tidak akan berulang lagi. Orang yang tahu menghargai masa akan berjaya dalam hidupnya.

Sebagai seorang murid hendaklah menggunakan masa dengan sebaik-baiknya. Antaranya, menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh cikgu dan mengulangkaji pelajaran. Hal ini kerana, dapat menambah ilmu pengetahuan kita. Selain itu, kita akan mudah mengingati pelajaran yang telah dipelajari dan lulus dengan cemerlang di dalam peperiksaan.

Kita juga boleh membantu ibu bapa kita membuat kerja-kerja rumah seperti membasuh pinggan, menyapu sampah dan menjaga adik. Kerja-kerja ini boleh kita lakukan ketika cuti sekolah atau pada masa lapang. Ibu bapa akan lebih menyayangi kita. Justeru, kita dapat membantu meringankan tugas mereka seharian.

Kita juga boleh mengisi masa lapang kita dengan beriadah. Contohnya, berjoging, berkayak dan bersenam. Aktiviti ini akan dapat menjauhkan kita daripada pelbagai jenis penyakit. Selain itu, dapat mengekalkan kesihatan kita. Kita juga dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan gejala sosial seperti melepak, merokok dan penagihan dadah.
                        
Sebagai murid, kita hendaklah mempunyai hobi. Justeru, masa lapang akan dipenuhi dengan melakukan hobi tersebut. Contohnya, hobi membaca buku cerita dan memancing. Selain itu, hobi memancing dapat menjimatkan perbelanjaan harian di samping memperoleh ikan segar.

Sesungguhnya, masa itu emas. Kita akan menjadi orang yang paling rugi jika tidak memanfaatkan masa yang ada. Masa tidak akan berulang lagi dan kita mesti menggunakan masa dengan sebaik-baiknya.

Punca Berlakunya Kes Buli Di Sekolah.

Sekolah ialah tempat untuk menuntut ilmu dan menjadi rumah kedua bagi murid. Namun begitu, banyak 
kes buli berlaku di sekolah dan membimbangkan ibu bapa. Terdapat beberapa punca berlakunya kes buli di sekolah.

Antara punca buli di sekolah ialah berpunca daripada sikap murid itu sendiri. Kebiasaannya murid yang membuli berbadan besar dan kuat. Mereka membuli rakan sebaya atau murid baru yang berbadan kecil dan mempunyai banyak wang. Ada juga yang membuli dengan memaksa murid lain menyiapkan kerja sekolah dan membelikan mereka makanan.

Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga menjadi punca murid-murid lain untuk membuli. Ada murid yang membuli semata-mata untuk mendapatkan pengiktirafan rakan mereka. Mereka berasa seronok dan bangga apabila rakan-rakan memujinya. Justeru, ibu bapa perlu memantau kelakuan anak-anak mereka dan sentiasa berhubung dengan pihak sekolah.

Kes buli juga berpunca daripada murid yang menghadapi masalah di rumah. Ada di antara mereka dibuli oleh abang dan kakak mereka. Kes-kes seperti ini sering berlaku kepada anak-anak yang ibu bapa mereka terlalu sibuk bekerja. Ada sesetengah di antara mereka membuli untuk menarik perhatian rakan dan guru di sekolah.

Televisyen juga boleh mempengaruhi murid untuk membuli. Mereka membuli selepas menyaksikan aksi ganas di televisyen. Rancangan gusti adalah salah satu rancangan aksi ganas. Oleh sebab itu, ibu bapa mestilahmelarang anak mereka menonton rancangan gusti supaya anak mereka terhindar daripada perbuatan membuli.

Kesimpulannya, terdapat beberapa punca berlakunya kes buli di sekolah. Oleh sebab itu, pihak sekolah mestilah membuat pemantauan terhadap tingkah laku murid. Selain itu, ibu bapa juga perlu menasihati anak-anak mereka agar menjauhi perbuatan membuli.

Malaysia Kesayanganku

Malaysia adalah sebuah negara yang aman, makmur dan merdeka. Malaysia telah merdeka daripada penjajahan Inggeris pada 31 Ogos 1957. Sejak 50 tahun yang lalu, negara Malaysia terus berkembang pesat dan bakal menjadi negara maju pada tahun 2020.

Di Malaysia inilah aku dilahirkan dan dibesarkan. Malaysia mempunyai rakyatnya yang berbilang kaum dan hidup aman damai. Mereka sentiasa tolong-menolong dan bertolak ansur dalam memelihara keharmonian Malaysia. Inilah keunikan negara Malaysia kesayanganku.

Selain itu, Malaysia juga indah dengan flora dan faunanya. Keindahan menarik ramai pelancong datang ke Malaysia. Antara tempat-tempat yang menarik adalah Melaka, Pulau Pinang dan Putrajaya. Kenmudahan penginapan dan makanan yang pelbagai jenis dapat memikat hati pelancong asing.

Malaysia juga terkenal dengan kepelbagaian budaya. Antaranya adalah istiadat perkahwinan, tarian, dan pakaian tradisional. Kepelbagaian budaya ini juga menjadi daya tarikan pelancong. Setiap kali menyambut perayaan keagamaan, pihak kerajaan mengadakan ‘Rumah Terbuka’ yang boleh dikunjungi oleh semua kaum.

Malaysia kesayanganku adalah negara yang stabil daripada segi politik dan ekonomi. Malaysia mempunyai pemimpin yang berwawasan jauh dan bertanggungjawab. Hasrat untuk menjadi negara maju terus diperjuangkan. Aku berasa bangga kerana rakyat Malaysia sentiasa bersatu padu dalam menjayakan wawasan negara.

Sesungguhnya, Malaysia adalah negara kesayanganku. Segala kemudahan dan kemodenan dikecapi oleh semua rakyat yang berbilang bangsa. Justeru, sayangilah negara Malaysia kerana ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’.










Thursday 13 December 2012

Sajak Guru Oh Guru


  
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi.


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.


Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.


Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.


Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.


Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG 

1979

Wednesday 21 November 2012

Sejadah Ilmu : Adab Dalam Berdoa

SEJADAH ILMU: ADAB DALAM BERDOA: DOA SENJATA ORANG MUKMIN…. BERIKUT ADA PANDUAN TATA CARA BERDOA IAITU: 1) ANGKAT TANGAN KE PARAS DADA 2) RAPATKAN KEDUA-DUA BELAH T...

Thursday 15 November 2012

Salam Maal Hijrah 1434

Moga Hijrah kita seterusnya dalam kehidupan akan memberi lebih pengertian dan lebih bermakna...

Wednesday 7 November 2012

Tema Hari Guru 1972 - 2012 :

2012  Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
2011  Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
2010  Guru Pembina Negara Bangsa
2009  Guru Pembina Negara Bangsa
2008  Guru Cemerlang Negara Terbilang
2007  Guru Penjana Modal Insan Gemilang
2006  Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
2005  Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2004  Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2003  Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2002  Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2001  Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
2000  Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
1999  Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
1998  Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
1997  Guru Bestari Sekolah Bestari
1996  Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
1995  Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
1994  Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1993  Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1992  Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
1991  Ke Arah Pendidikan Cemerlang
1990  Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
1989  Guru Pembina Budaya Ilmu
1988  Guru Pengasas Budaya Membaca
1987  Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
1986  Pendidikan Teras Nasionalisme
1985  Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
1984  Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
1983  Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
1982  Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
1981  Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
1980  Pendidikan Teras Perpaduan Negara
1979  Murid Sejahtera Negara Jaya
1978  Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
1977  Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
1976  Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
1975  Guru dan Pembangunan Negara
1974  Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
1973  Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
1972  Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara

Picture Majlis Sambutan Hari Guru 2012
















Tuesday 6 November 2012

Sajak Buat Warga Pendidik

SAJAK BUAT WARGA PENDIDIK

KARYA : EFISYA (KAKAK LANUN)

Kalam siapakah pengukir cita dan jaya
Di diari anak-anak yang damba ke mercu
kukira engkaulah penenun hebat
pernah memilih lantas menghimpunkan

Benang-benang keakraban menjadi sutera kasih
kukira kiblat perjuangannya tidak pernah berkalih
tegur didikmu tidak boleh memilih-milih
kerna tugasmu menanam menyubur benih


Dalam sukma mesti sarat penuh rasa cinta, rasa kasih
Rasa tanggungjawab, sifar calar tulus amanah, tak boleh serpih
Terus berjuang kerana kalian insan terpilih

Kepada rakanku yang pernah tercalar hatinya
usah biarkan teritip-teritip kecil mengguris hati
Hidup ini memang ladang juang maha hebat maha gawat
Hidup ini kelarai payah, tenunan gundah untaian resah

Singkirkan rawan mendatang
Bukakan kembali pustaka rindu cintamu
Agar anak-anak masih merah
bisa mengenal apa bezanya
Rama-rama dan kupu-kupu

Wahau Tuhan Maha Pengasih
Jadikan benih-benih azam anak-anak didik kami
Tumbuh subur menjadi pohon hijau
Di perkebunan hidup...